Sunday, November 01, 2009

Jejak-jejak di Pantai Zaman, penghormatan Ungku A. Aziz kepada Pendeta Za'ba

Aku sebenarnya terpaut, terpaku, terpempan, terpukul, terpana dan terkagum apabila membaca tulisan-tulisan Pak Za'ba yang dititipkan oleh Ungku A.Aziz dalam bukunya Jejak-jejak di Pantai Zaman. Segala perasaan yang bercampur baur terangkum amat dalam, berat dan bermakna pada jiwaku.

Pak Za'ba tidak pernah dikenali sebagai seorang yang ahli dalam ekonomi orang Melayu. Dia hanya dikenali sebagai Pendeta Bahasa dan Sastera. Tetapi sebenarnya Pak Za'ba, pada tahun 1927 pernah menulis rencana perihal ekonomi orang Melayu dan dasar yang boleh membantu membaiki kemiskinan orang Melayu. Malang bagi Pak Za'ba apabila menulis rencana itu, dia kemudiannya didatangi pegawai pengintip British, kenaikan gajinya juga dihentikan selama setahun dan dipindahkan ke jawatan yang dihadkan kepada kerja-kerja menterjemah sahaja, bukan mengajar supaya pengaruhnya dapat dikawal. "Rawatan istimewa" pemerintahan British dikelolakan oleh Mr. Hamilton dan seorang tali barut Melayu sentiasa melawat Pak Za'ba bagi memperbaharui 'rawatan'.

Pendeta Za'aba pada tahun 1927 telah menulis rencana bertajuk Kemiskinan Orang Melayu dan Jalan Keselamatan Bagi Orang Melayu di dalam Al-Ikhwan.


Kemiskinan Orang Melayu

Pendeta Za'ba sangat gusar melihat kemiskinan Orang Melayu. Miskinnya pada wang ringit, harta benda, cita-cita, pelajaran, latihan, sifat yang tinggi mulia, pada tumbuh dan subur hatinya, karya-karya yang mengangkatkan perasaan, tulisan yang meninggikan fikiran, asuhan yang sempurna dan keelokan perangai serta roh agamanya. Orang muda-muda leka membuang masa dengan kesukaan yang sia-sia (rasanya masa kini masih tak berubah), orang tua-tuanya pula terpasung engan kepercayaan bodoh dan bukan-bukan akan hantu syaitan, hantu dan jin manjangan (rasanya juga tak berubah). Pendeta Za'ba memberi pandangan 360 darjah tentang kemiskinan bangsa Melayu.

Pendeta Za'ba menerangkan sebab yang menjadikan orang Melayu miskin.

Pertama, keadaan agama Islamnya dan kepercayaannya telah jatuh rendah daripada ketunggalan dan kebersihannya yang asli;

Kedua, beratus tahun kehidupan orang Melayu di bawah perabdian pemerintahan-pemerintah dari bangsanya sendiri. Hidup penuh kesempitan, azab sengsara, dan kebuasan yang tiada terderitakan (roh agama Islam jauh daripada jiwa pemerintah). Oleh itu, orang melayu memerlukan latihan khas bagi melawani latihan pesaka (perabdian) itu.

Ketiga, Tanah Melayu ini mewah dan subur. Orang Melayu tiada rajin dan tiada cekap bekerja melumbai bangsa-bangsa lain kerana negeri ini sengaja mewah dengan serba jenis makanan yang bleh dapat dengan taida susah payah atau sedikit usaha sahaja.

Keempat, tiada berpengetahuan darihal apa yang hendak dibuat, bagaimana membuat, dan sebab apa dibuat dan tidak pula tajam tentang hal perniagaan dan jalan perusahaan mencari duit.

Pendeta Za'ba menjelaskan jalan yang patut diusahakan oleh orang Melayu bagi membaiki kemiskinan itu sebahagian dalam rencana Kemiskinan orang Melayu dan sebahagiannya disambung dalam rencana Jalan Keselamatan bagi orang Melayu.

Jalan Keselamatan bagi orang Melayu.
Pertama, diubati penyakit pengetahuan dan kemiskinan pelajaran dengan diberi pelajaran daripada jenis yang betul dan munasabah seperti latihan perniagaan daripada orang Cina(praktikal);

Kedua, latihan khas bagi melawani latihan pesaka (perabdian)itu menjadi orang yang menolong diri sendiri dan bergantung kepada diri sendiri (kemerdekaan diri) dengan menyediakan jalan membaca kitab-kitab yang memesrakan dalam hati akan fikiran-fikiran yang baru dan pengetahuan yang meluaskan lingkungan 'kaki langit'yang tampak oleh hati seseorang itu serta mengubahkan sifat-sifat keadaan dirinya.

Ketiga, bekerja bersama-sama dalam pergerakan, bangkit bersatu mengumpulkan wang sesama sendiri (persatuan dan koperasi), dan 'memberi pelajaran' dijadikan pedoman , nyawa dan asas umbi pergerakan itu.

Keempat, bekerja bersama-sama dalam pergerakan mengumpulkan wang kutipan antara sesama sendiri bagi mengadakan biasiswa dan menghantar anak-anak muda belajar mengikut kecenderungannya dalam ilmu bahasa, penulisan, sejarah, falak, falsafah, agama, kejuruteraan, elektrik, jentera, enjin, membuat barang, membuat ramuan, ilmu perniagaan, ekonomi, berkebunan, penternakan, ilmu perhutanan, perlombongan, perikanan, veterinar, perundangan dan perubatan dan sebagainya.

Kelima, memberatkan kepada usaha berniaga dan perusahaan hasil-hasil tanah, pertanian, penternakan dan perikanan;

Keenam, mentadbirkan wang dengan tulus hati, amanah, kesungguhan cita-cita, kasihkan kaum dan gemarkan faedah ramai.

Ketujuh, bersiap sedia jika tidak berjaya, tidak takut dan gentar kepada kerugian, terus mencuba dan mencuba lagi sekiranya gagal.

Kelapan, kepada orang melayu yang sebenarnya bersungguh-sungguh hendak menghasilkan jalan keselamtan bagi kaum Melayu ini, hendaklah jangan gentar walau bagaimana besar dan susahnya pekerjaan itu tidaklah mustahil disempurnakan jika bersatu.

Kesembilan, hendaklah mengeluarkan titik peluh sendiri, jalankan akal ikhtiar, gunakan sehabis daya upaya dengan tegas, tekun dan bersungguh-sungguh."Kita diberi balasan hanya sukat sebanyak yang kita usahakan sahaja".

Kesepuluh, menubuhkan pergerakan atau persatuan penulisan, karya dan buku. Melengkapkan bilik-bilik membaca dan mutalaah dengan buku-buku yang boleh memberi pelajaran, asuhan dan mengangkatkan hati kepada perasaan-perasaan yang tinggi dan luas. Persatuan ini hendaklah mengadakan pertemuan, membahaskan ilmu-ilmu dan membiasakan ahlinya bercakap di tengah majlis. Selain itu, menterjemahkan buku-buku bahasa lain ke bahasa Melayu untuk faedah bangsa Melayu dan memberi hadiah tahunan kepada pengarang yang baik sekali karyanya bagi menggalakkan dan memberangsangkan hati hendak mengarang.

Kesebelas, terwajib kepada orang muda-muda yang selama ini tiada ambil peduli atau asyik kegilaan mencari kesukaan untuk bersatu hati dengan wasitah persatuan.

Pendeta Za'ba melihat dan memahami semuanya. Dia seorang pemikir Melayu yang pertama menuliskan tentang masalah ekonomi orang Melayu. Dia memikirkan Jalan Keselmatan Orang Melayu. Tetapi jalan itu tidak dapat dikongsikan dan diperluaskan kepada anak bangsanya secara meluas dan hebat tatkala itu.

Terima kasih Ungku A.Aziz yang menyampaikan cebisan tulisan Pendeta Za'ba yang mungkin akan terus hilang dari zaman jika tidak dituliskan dalam buku ini.

Monday, October 19, 2009

Aku suka di situ


Aku mencari cinta ku di celahan masa
Lalu aku temui dia dalam rimbunan rasa
Terkadang aku merindui dia dalam lamunanku
Terkadang aku peluknya erat dalam kotak ilham
Dan cinta itu kadang juga yang aku biarkan
Sehingga merajuk lalu terus meninggalkan ku tanpa muncul
Meninggalkan ku dalam derita percintaan yang parah

Aku merinduinya kerana tatkala bertemu pasti aku akan muncul di tanah indah itu. Sebuah tanah yang penuh kehormatan dan kecintaan. Sebuah kerajaan yang indah dan agung.

Aku berlari di bawah pohon besar yang merendang dan menjatuhkan untaian bunga Runya yang merah dan harum. Aku menikmati pemandangan padang yang hijau yang dipenuhi pohonan bunga mewangi pelbagai rona. Bunga-bunga itu terbang dan memenuhi anak sungai yang mengalir ke tasik dan ke aliran-aliran air yang dibentung ke rumah-rumah ladang.Gadis-gadis mengambil air untuk dijadikan mandian wangi. Pemuda-pemuda bekerja keras di ladang menuai hasil tanaman. Anak-anak kecil pula beradu kekuatan dengan perlawanan pedang kayu yang diukir oleh orang-orang tua.

Tanah yang penuh damai yang pernah dijanjikan Tuhan Yang Maha Esa untuk bangsa Daluwarsa. Aku suka di situ selalu.

Thursday, September 10, 2009

ceritera cinta siapa...

Jika hidup ini boleh diatur seperti resepi cup cake..bahan ini bahan itu..bakar..jadi kek cawan comel. Tambah keceriaan dengan warna-warna krim yang gembira. Kalau semudah itu...hmm. Apa pula resepi kek cawan penuh cinta? Bagaimana warna dan rasanya? Bahan mana yang padan dan sesuai yang pabila oven membakarkan, wangian harum cinta suci kek cawan comel itu memenuhi segenap ruang dapurku.

Masih mencari jejaka yang menghargai rasa yang kaya dari kek cawan yang ku bakar. Selalu kecewa kerana kek cawan dihakimi dengan warna dan hiasannya yang cantik sahaja. Kalau cantik itu yang dipandang mewakili keenakkannya, maka bahan adunan yang menjadi kandungan rasa kek itu tidak perlu disusah-susahkan. Tak perlu memasaknya dengan hati. Tanpa hati, rasa akan mati. Tanpa hati, tiada cinta.

Hmmm...kek cawan penuh cinta. Siapa yang bakal menghargainya?

ceritera cinta si pembakar kek...kalau kek itu comel..comel lagi si pembakarnya.



Aku sukakan hidup yang mengujakan ini. Yang datang itu selalu mencabar, tetapi itulah guru. Guru yang mengajar aku mencipta teori-teori kemahiran kehidupan yang kuterapkan dalam kerja, perhubungan dan hidup. Utusan kata William Wirt, Peguam Negara Amerika ke-9, 2 abad lalu sangat mengesan dalam pemikiran. "Seize the moment of excited curiosity on any subject to solve your doubts; for if you let it pass, the desire may never return, and you may remain in ignorance."

Begitu juga cinta. Kita seharusnya menyenangi wanita dan kemudian jatuh cinta. Tetapi untuk jatuh cinta memang sukar, kerana wanita yang disenangi tidak semestinya boleh dicintai. Wanita itu seperti pemandangan yang indah, walau lense telah mengunci pandang atas keindahan itu, tidak semestinya akan berhasil foto yang indah. Sedang menunggu keindahan yang ajaib, yang mendatangkan perasan seperti aku jurufoto terhebat dunia... Sedang menunggu hati berkata, ya! inilah dia orangnya. Siapa dia yang bakal menyenangi aku?

ceritera cinta si tukang gambar...kalau foto itu unik..unik sungguh si jurufotonya.


ceritera cinta siapa...

Monday, August 17, 2009

Sinar Iktibar Hikayat Munsyi Abdullah

Hikayat Abdullah adalah pembuka mata
Yang telah menegur bangsa yang berbahasa Melayu
Sejak 180 tahun dahulu

Nyata bangsa ini mengambil masa beratus tahun untuk berubah
Namun, ada yang kembali memelihara kekolotan kerana kebodohan
Sinar iktibar yang pernah dipancarkan oleh penanya adalah nyala terang kemilau
Tersimpan dalam timbunan sejarah seperti kubu yang runtuh dan ditimbus zaman

Kenapa kita simpan kehebatan itu menjadi eksklusif, jarang dikongsi dan tidak disedari? Hikayat Abdullah adalah kitab wajib baca bangsa Melayu.

Sunday, August 09, 2009

Keluarkan aku dari hitam dan masukkan aku dalam putih.

Aku selalu percaya dunia ini perlu dipenuhi dengan cita-cita dan impian. Melalui cita-cita dan impian kehidupan manusia akan menjadi lebih baik, bermakna dan penuh kepuasan yang indah. Kontradiknya, aku dibesarkan dalam sebuah keluarga konservatif yang berlingkar fahaman pesimistik dalam apa jua yang berlaku dalan persekitaran. Lalu aku menjadi pemberontak yang berjuang demi cita-cita dan impianku. Ironinya, aku sebenarnya masih terperangkap dalam dunia bersifat pesimis yang aku warisi dan pengharapan yang amat tinggi dalam mengejar apa yang ku panggil impian.

Aku masih dalam kotak itu...hahahahaahah..kelakarnya (sadisnya), perubahan mana yang aku tunggu? Minggu lepas, aku mula menghantar mesej pesanan ringkas (sms) kepada diri ku sendiri. Aku memberitahu diri aku sesuatu yang aku tahu dan aku hendak pegang. Penyerahan kepada Tuhan Yang Naha Memelihara. Menulis. Kekuatan. Keyakinan. Tiang yang menegakkan itu ada dalam diri sendiri.

Aku dulu manusia yang lupa, ketakutan, kelemasan dalam keresahan.Aku boleh meletakkan pernyataan negatif yang panjang tentang keseluruhan nasib hidupku (pesimis yang membunuh).

Tetapi senyuman, ketawa, bicara lucu, perjuangan tanpa rungutan, usaha tanpa lelah dan menghiraukan diri sendiri oleh seseorang yang sangat teguh kasihnya membuatkan aku perlu melakukan sesuatu. Apakah aku mahu membunuh semangat insan yang sangup meneman hidupku?

Aku bersungguh keluar dari dunia pesimis yang gelap seolah dipenuhi algojo yang sedia menghukum. (Satu pernyataan kehitaman dan kesuraman yang masih ada dalam atma..kikis)

Aku harus memandang dunia dengan pandangan serba indah dan serba keyakinan. Segalanya ada jalan keluar dan penyelesaian. Senyuman adalah ubat terbaik. Keyakinan, kejujuran dan kesungguhan adalah jalan yang luas terbentang. Pilihan adalah milik aku. Itulah akal. Akal bergantung kepada diri sendiri. Akal adalah kurniaan Allah SWT, Pencipta Yang Maha Agung yang meletakkan balasan pahala dan dosa adalah tanggungan manusia yang melaksana dalam pilihan dan penggunaan akal sendiri.

Ya Allah ku pohon, peliharalah aku dan insan yang ku cintai dalam Rahman dan Rahim MU Yang Maha Luas melebihi luasnya alam semesta.

Friday, August 07, 2009

Hati ini sebenarnya meronta mahu kembali ke alam itu, di mana aku dapat melihat langit serba biru dangan kehijauan rumput terbentang di lembah indah. Tasik yang damai dengan anak sungai yang mengalir jernih dan tenang sehingga meluncur di hujung batu berkemilauan rona putih kebiruan yang berderai jatuh ke tasik. Rerama terbang menjamah manisan bungaan yang melata pelbagai warna.

Tuesday, July 07, 2009

Mencari Pertolongan Daripada Aku

Mencari jalan supaya aku punya jalan
Mencari masa supaya aku punya masa

Mencari sayap untuk terbang
Mencari sebab untuk merubah
Mencari arah mana yang harus diredah

Ternyata aku seperti rusa yang sesat di hutan
Sedang ku lihat jalan yang lurus indah berpohon bunga
Namun ku masih berulit tanpa haluan di rimbunan tetangga hutan

Aku perlu pertolongan...menjerit sejauh dan sekuat yang mampu..kerana aku masih di situ. Jeritan itu lalu ku hentikan..kerana diri yang mendengar itu tidak pernah membuat sesuatu yang wajar...hanya mendengar dan kemudian meninggalkan. Diri itu adalah aku.


Aku sendiri.